
FBS kini 16 tahun
25 Jul 2025
Asas
“Mean” (Min) adalah purata harga bagi suatu aset dalam suatu tempoh masa. Mean Reversion (Perkembalian Ke Min) adalah satu teori yang menyatakan bahawa harga aset cenderung berpatah balik ke min jangka panjang mereka selepas pergerakan harga yang melampau kerana trend sedemikian tidak cukup mampan untuk dikekalkan untuk masa yang lama. Pembalikan purata boleh berlaku dalam saham, tetapi juga opsyen, ETF, komoditi, kemeruapan, perolehan, dan perdagangan Forex.
Harga bergerak dalam kitaran, sentiasa berayun di sekitar purata. Jika harga bergerak di atas purata, ia pasti akan turun semula ke bawahnya, kemudian naik semula, dan seterusnya. Dengan cara ini, min berfungsi seperti magnet, menarik harga kembali naik atau turun jika ia sudah pergi terlalu jauh. Satu cara lain untuk melihatnya adalah seperti jalur getah yang diregangkan apabila harga bergerak naik atau turun, sebelum ketegangan menariknya kembali ke arah purata.
Min boleh bersifat sama ada dinamik atau statik. Untuk min dinamik, purata sentiasa diperbaharui kerana data baru diterima secara berterusan. Apabila anda mengambil Purata Bergerak (MA) 20 atau 50 hari, sebagai contoh, nilai min berubah setiap hari apabila hari tertua dikeluarkan dari pengiraan dan hari yang terkini dimasukkan ke dalam pengiraan terkini. Min statik pula merujuk pada purata yang tidak berubah yang dihitung dalam tempoh tertentu, seperti purata harga sepanjang 5 hari terakhir.
Mean Reversion adalah satu jenis analisis teknikal (TA): ia sebahagian daripada strategi yang menggunakan indikator ekonomi dan alat teknikal seperti data sejarah, purata bergerak, RSI, Bollinger Bands, dan pola harga untuk mengkaji tingkah laku harga dan mengenal pasti peluang.
Strategi Mean Reversion adalah tentang menjana wang dengan memanfaatkan ayunan harga dengan mengenal pasti aset yang dinilai terlebih tinggi atau dinilai terlebih rendah dan menganggap bahawa harga akhirnya akan kembali ke paras purata historikal. Jika strategi mengikuti trend adalah tentang menjana wang dengan mengikuti trend, Mean Reversion adalah tentang membuat wang dengan mengambil kesempatan daripada penyimpangan harga semasa daripada puratanya.
Trader akan menerapkan strategi ini untuk menentukan titik kemasukan bagi posisi mereka. Mereka boleh melihat purata bergerak dan menggunakan indikator seperti Relative Strength Index (RSI) untuk memeriksa sama ada aset itu sudah terlebih beli atau terlebih jual, atau Bollinger Bands untuk melihat sejauh mana harga sudah menyimpang daripada purata. Jika harga ketika itu sudah sangat tinggi berbanding dengan purata dinamik, atau purata, ini boleh menunjukkan masa yang baik untuk menjual. Jika harga jatuh di bawahnya, itu mungkin menandakan masa yang baik untuk membeli. Semakin jauh harga bergerak daripada purata, semakin besar kemungkinan ia akan berpatah balik.
Mean Reversion sangat lazim terjadi dalam perdagangan Forex. Ia cara yang baik untuk mengenal pasti peluang bagi posisi jangka pendek. Strategi ini adalah untuk mengenal pasti sejauh mana pasangan matawang biasanya menyimpang dari kadar tukaran purata atau historikal, untuk mendapatkan gambaran mengenai julat tersebut.
Apabila kadar telah menyimpang dengan cukup jauh, anda boleh menggunakan indikator-indikator analisis teknikal untuk mengesahkannya. RSI dan Pengayun Stochastic adalah indikator momentum yang akan menunjukkan sejauh mana pasangan matawang sudah terlebih beli atau terlebih jual.
Titik pivot adalah satu lagi alat analisis teknikal yang digunakan oleh trader untuk memeriksa sebarang aras rintangan atau sokongan yang boleh memberi isyarat bahawa harga sudah bersedia untuk berpatah balik. Ini dikira menggunakan harga tertinggi, harga terendah, dan harga penutupan hari berdagang sebelumnya.
Satu lagi alat yang boleh digunakan dalam Mean Reversion untuk perdagangan Forex ialah korelasi matawang. Sesetengah pasangan matawang terkorelasi dalam erti kata bahawa mereka biasanya bergerak dalam arah yang sama. Sebagai contoh, pasangan EURUSD dan GBPUSD cenderung bergerak dalam arah yang sama kerana Zon Euro dan UK mempunyai hubungan ekonomi dan geopolitik yang rapat.
Jika, atas sebab tertentu, kedua-dua pasangan ini bergerak dalam arah yang bertentangan, trader akan menganggap ini sebagai sementara dan menjangka bahawa kedua-dua pasangan ini akhirnya akan kembali sejajar seperti sebelum-sebelum ini. Mereka kemudian akan menjual pasangan yang telah naik, atau berprestasi lebih baik, dan membeli pasangan yang telah turun, atau berprestasi kurang baik, dengan harapan dapat meraih keuntungan apabila kedua-duanya kembali normal.
Mudah digunakan
Mean Reversion adalah konsep yang mudah untuk diterapkan. Trader pemula boleh bermula kecil-kecilan, menggunakan alat-alat yang asas seperti Purata Bergerak Ringkas (SMA), dan menambah lebih banyak indikator untuk memperhalusi strategi mereka sambil mereka belajar lebih lanjut. Anda tidak perlu meneka-neka kerana anda kini mempunyai peraturan untuk dipatuhi.
Keandalan (reliability)
Sesetengah trader mendapati Mean Reversion adalah strategi yang lebih andal (reliable) kerana ia memberikan mereka alasan yang konkrit untuk membeli atau menjual. Keputusan mereka berlandaskan pada beberapa alat yang, apabila digunakan secara bersama, memberikan signal jikalau perubahan arah harga berpotensi untuk terjadi. Semakin suatu aset itu terlebih beli atau terlebih jual aset, semakin besar kebarangkalian ia akan berpatah arah.
Pengurusan risiko
Oleh kerana trader yang menerapkan strategi Mean Reversal mengenal pasti aras-aras harga yang baik untuk membuka atau menutup urusniaga, mereka boleh menetapkan aras limit dan renti rugi pada aras-aras tersebut. Ini boleh membantu mengurus tekanan dan emosi dalam perdagangan. Ini juga cara yang baik untuk mengurus risiko dan menghadkan kerugian jika harga tidak bergerak dalam arah yang dijangkakan.
Potensi keuntungan
Mean Reversion berpotensi menguntungkan dalam pasaran yang cenderung kekal berlegar dalam julat tertentu, seperti pasangan matawang, dan pasaran yang sedang mendatar, kerana ia sentiasa akan kembali ke purata dan jarang menembusi trend menaik atau menurun yang berterusan.
Signal, bukan jaminan
Mean Reversion akan memberikan signal jika harga sudah bersedia untuk bergerak kembali menuju nilai puratanya (min), tetapi ia tidak menjamin perkara ini benar-benar akan berlaku. Beberapa indikator dan alat digabungkan untuk meningkatkan kebarangkalian bahawa urusniaga akan membuahkan kesudahan yang positif, tetapi apa sahaja boleh berlaku. Aset boleh kekal terlebih beli atau terlebih jual untuk masa yang sangat lama sebelum ia benar-benar berpatah balik. Harga juga boleh bergerak dalam arah yang tidak logik dan tidak dapat diramalkan tanpa sebab yang jelas.
Kejutan
Adakalanya, faktor luaran dan berita mempengaruhi harga dan menyebabkan ia dinilai semula, mencetuskan trend yang kuat dan tahan lama. Data historikal tidak menjamin prestasi masa hadapan, dan pasaran boleh berkembang. Kejutan-kejutan seperti ini boleh muncul secara tiba-tiba, mengganggu pola dan trend, membawa kepada kerugian.
Kemeruapan
Anda perlukan kemeruapan yang lebih tinggi jika anda mahu Mean Reversion jadi lebih menguntungkan. Perubahan harga yang melampau juga jarang berlaku, jadi anda perlu berwaspada dan sentiasa bersedia apabila ia terjadi. Satu cara untuk mengatasi kemeruapan yang rendah adalah dengan berdagang menggunakan modal yang lebih besar, tetapi anda juga berisiko rugi lebih besar.
Pemilihan masa (timing)
Sekadar betul tentang pembalikan arah belum memadai: penentuan masa (timing) anda juga perlu betul. Jika anda membuka urusniaga terlalu awal dan harga tidak berpatah balik, anda boleh melanggar renti rugi anda dan mencetuskannya jika anda ada menetapkan renti rugi, atau anda boleh terlepas peluang meraih keuntungan yang lebih besar. Menggunakan leveraj adakalanya sangat berisiko dalam situasi ini, kerana jika trend kekal bergerak dalam arah yang salah untuk terlalu lama, akaun anda berisiko disapu licin sebelum harga benar-benar berpatah balik.
Tidak untuk setiap pasaran
Strategi Mean Reversion tidak berkesan dalam setiap pasaran. Pasaran kripto sangat tidak stabil dan sering bergerak dalam arah yang melampau dan tidak dapat diramalkan, menarik harga menjauh dari purata untuk tempoh masa yang lama. Dalam pasaran seperti teknologi, penembusan boleh menandakan kemunculan trend baru dan mendorong harga naik. Dalam kes-kes seperti ini, ia boleh mengambil masa sehingga berbulan-bulan sebelum harga kembali ke purata. Inilah situasi yang dihadapi oleh saham seperti Nvidia.
Mean Reversion menyediakan cara yang terstruktur untuk berdagang dan digunakan secara meluas dalam pelbagai strategi. Ia biasanya berfokus jangka pendek, dan lazim digunakan dalam perdagangan intrahari, perdagangan swing, dan perdagangan Forex. Justeru kerana risiko-risiko yang terkait dengan strategi jenis ini, penting bagi trader untuk mengimbanginya dengan teknik pengurusan risiko yang berdisiplin. Memandangkan strategi ini juga berakar daripada analisis teknikal dan berdasarkan pergerakan harga serta indikator, sesetengah trader malah menggunakan algoritma pengaturcaraan yang akan melaksana urusniaga bagi pihak mereka setelah syarat-syarat tertentu dipenuhi. Anda boleh bermula perlahan-lahan dan membina strategi anda sedikit demi sedikit sambil anda memperoleh lebih banyak pengetahuan.
Dengan mendaftar anda menerima syarat-syarat Perjanjian Pelanggan FBS dan Polisi Privasi dan menerima semua risiko yang terkandung pada operasi perdagangan di pasaran kewangan dunia.